SEKAPUR SIRIH, SEULAS PINANG

"Belajarlah kamu semua, dan mengajarlah kamu semua, dan hormatilah guru-gurumu, serta berlaku baiklah terhadap orang yang mengajarkanmu." (Hadis Riwayat Thabrani).

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya, kita berpeluang bertemu di gerbang maya Institut Sosial Malaysia (ISM). Sebagai institusi latihan awam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), ISM terus mengorak langkah meneraju visinya sebagai pusat kecemerlangan unggul bagi pembangunan kesejahteraan sosial.

ISM beriltizam untuk membangunkan masyarakat yang berdaya tahan melalui peningkatan kapasiti dan kemahiran, selari dengan aspirasi KPWKM dalam memperkukuh sistem sokongan sosial dan memperkasa komuniti dengan ilmu dan latihan yang terangkum. Dengan misi yang jelas dan objektif yang kukuh, ISM menyediakan latihan berkualiti, menjalankan penyelidikan yang berimpak tinggi, serta menerbitkan sumber ilmiah yang bermanfaat dan membangunkan modal insan yang terampil. ISM turut melaksanakan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak menjadi pemacu utama dalam memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberikan manfaat yang mampan dan inklusif kepada masyarakat.

Sebagai pusat latihan sosial bitara negara, ISM berperanan bukan sahaja dalam memperkasa profesionalisme pekerja sosial dan badan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga sebagai pusat repositori ilmu dan rujukan dalam bidang sosial. ISM turut menyokong usaha kementerian dalam menjayakan Dasar Sosial Negara (DSN) melalui penyelidikan yang empirikal, seterusnya memastikan setiap polisi dan program yang diperkenalkan benar-benar menepati keperluan Malaysia MADANI.  

Menyedari kepentingan kerjasama dalam membentuk masyarakat yang sejahtera, ISM giat memperkukuh jaringan strategik bersama sektor kerajaan, korporat, Institusi Pendidikan Tinggi, NGO, dan badan swasta. Melalui usaha sama ini, ISM dapat memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pembangunan modal insan yang berkualiti, melahirkan tenaga kerja sosial yang berkemahiran, inovatif, dan berdaya saing di peringkat global.

Seiring dengan arus transformasi digital, ISM juga melangkah seiring dengan menyediakan pelbagai platform pembelajaran dan latihan sama ada secara fizikal mahupun maya. Dengan kemudahan prasarana yang kondusif serta modul latihan yang inovatif dan relevan, ISM memastikan ilmu dan kemahiran dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat. ISM juga sentiasa responsif terhadap cabaran semasa dalam bidang pembangunan sosial, dan terus memperkaya program latihan agar ia sentiasa relevan dengan perubahan zaman.

ISM percaya bahawa ilmu dan kemahiran adalah kunci utama dalam membangunkan sebuah masyarakat yang inklusif, prihatin, dan progresif. Dengan berpandukan prinsip ini, ISM terus memperkukuh usaha dalam melahirkan generasi yang cakna, bertanggungjawab, serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan sosial negara.

Semoga kunjungan maya ke laman sesawang ISM ini memberikan manfaat yang berharga serta menjadi titik tolak untuk anda meneroka pelbagai peluang ilmu dan perkhidmatan yang disediakan. Bersama-sama, kita membentuk masyarakat yang lebih sejahtera, berilmu, dan progresif.

Institut Sosial Malaysia (ISM): Peneraju Latihan dan Pembangunan Sosial di Malaysia. 

Ilmu • Sejahterakan • Masyarakat
Terima kasih.  
 

Norhaslinda Mohd Sibi
Pengarah

Institut Sosial Malaysia