Pengenalan

ISM merupakan sebuah agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang bertaraf Institut Latihan Awam (ILA) dan mula beroperasi pada tahun 2002 dengan matlamat utama untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan yang unggul dalam bidang pembangunan dan kesejahteraan sosial. ISM terletak di Jalan Sungai Besi – Seremban, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebagai pusat latihan sosial bitara negara, ISM berperanan bukan sahaja dalam memperkasa profesionalisme kerja sosial dan badan bukan kerajaan (NGO), ia juga sebagai pusat repositori ilmu dan rujukan dalam bidang sosial negara. ISM turut menyokong usaha KPWKM dalam menjayakan Dasar Sosial Negara (DSN) melalui penyelidikan yang empirikal, seterusnya memastikan setiap polisi dan program yang diperkenalkan benar-benar menepati keperluan Malaysia MADANI. Oleh itu, Institut ini menjalankan latihan seperti kursus, latihan, seminar, bengkel dan forum serta menganjurkan persidangan dalam bidang pembangunan sosial dan kerja sosial.

Dalam usaha untuk mempertingkatkan pembangunan kapasiti, ISM mengorak langkah ke arah mewujudkan rangkaian kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa bagi membangunkan kurikulum, modul latihan yang lebih komprehensif dan strategi yang efektif untuk memperkasakan pengetahuan dan menyampaikan idea-idea terkini kepada peserta-peserta yang menghadiri kursus dan latihan di ISM.

Dalam melaksanakan fungsi teras akademiknya, ISM terdiri dengan empat (4) pusat pengajian dan satu (1) unit iaitu Pusat Pengajian Pembangunan Komuniti (PPPK), Pusat Pengajian Kemahiran Sosial (PPKS), Pusat Pengajian Pembangunan Organisasi Sosial (PPOS), Pusat Pengajian Pembangunan Modal Insan (PPPMI) dan Unit Penyelidikan (UP) ISM selain Bahagian Pentadbiran di bawah Pendaftar ISM. Terdapat pelbagai kursus, program dan wacana ilmu yang ditawarkan kepada pegawai dan kakitangan KPWKM dan Jabatan/Agensi di bawahnya, agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti, serta orang awam dalam memperkasakan ilmu dan isu sosial semasa negara.  

Selain mengendalikan kursus, program dan wacana ilmu, ISM turut terlibat dengan aktiviti penyelidikan dan penerbitan. ISM menjalankan penyelidikan dalam bidang sosial termasuklah kajian melibatkan kumpulan sasar kementerian. Selaras dengan usaha Institut ini dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan penyebaran maklumat, ISM turut menjalankan penerbitan bahan-bahan ilmiah, separa ilmiah dan pengkisahan dalam pelbagai kategori penerbitan seperti jurnal, buku, majalah, laporan dan penerbitan-penerbitan lain. Antara penerbitan berkala ISM adalah International Journal of Social Policy and Society (IJSPS), Majalah Paradigma Sosial, Laporan Tahunan, Buku Tiada Yang Mustahil dan Buku Wanita Bangkit dan banyak lagi penerbitan sebagai repositori maklumat berkaitan isu dan topik sosial Malaysia untuk rujukan kini dan masa hadapan.  

ISM percaya bahawa ilmu dan kemahiran adalah kunci utama dalam membangunkan sebuah masyarakat yang inklusif, prihatin, dan progresif. Dengan berpandukan prinsip ini, ISM terus memperkukuh usaha dalam melahirkan generasi yang cakna, bertanggungjawab, serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan sosial negara. ISM percaya bahawa, Ilmu Sejahterakan Masyarakat.  

 

Visi & Misi

 

Visi

Pusat Kecemerlangan Unggul Bagi Pembangunan Kesejahteraan Sosial.

Misi

Menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam bidang sosial dan pembangunan sosial melalui penyediaan latihan, penyelidikan, penerbitan dan kolaborasi strategik.

 

Objektif

  1. Melahirkan pengamal sosial yang mahir dan profesional;
  2. Mempertingkatkan kemahiran serta berkongsi pengetahuan di bidang pengurusan dasar sosial;
  3. Merancang kurikulum dan program latihan, mewujudkan rangkaian kerjasama dan perkongsian pengetahuan serta menyokong penyelidikan;
  4. Menghasilkan penerbitan mengenai sosial dan pembangunan sosial.

 

Piagam Pelanggan

Kami komited untuk mengendalikan program latihan yang berkualiti ke arah peningkatan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman profesional modal insan Kementerian dan Jabatan, serta menjana sikap pengamal sosial yang betul dan tulen dalam bidang pembangunan sosial, kebajikan sosial dan kerja sosial.

Kami berjanji untuk :

  1. Memaklumkan peserta tentang sesuatu kursus yang dirancang akan dijalankan sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum kursus bermula.
  2. Memastikan penyampaian kursus mendapat skor purata penilaian sekurang-kurangnya 5 pada skala 1-7 dalam penilaian keberkesanan penyampaian.
  3. Memastikan prasarana dan kemudahan latihan yang disediakan mendapat skor purata penilaian sekurang-kurangnya 5 pada skala 1-7 dalam penilaian kepuasan pelanggan.
  4. Memberi maklum balas terhadap setiap aduan dan pertanyaan dalam tempoh tidak lewat dari lima (5) hari bekerja.

 

Pencapaian dan Pengiktirafan