Pengenalan
Institut Sosial Malaysia (ISM) merupakan sebuah institusi latihan awam dalam bidang kerja sosial dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah beroperasi sejak tahun 2002 di Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan objektif utama untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam bidang sosial dan pembangunan sosial.
Sebagai institusi latihan awam yang memberi fokus kepada bidang sosial dan pembangunan sosial untuk anggota kerajaan dan pengamal-pengamal bidang sosial di Malaysia, ISM merupakan pusat sumber untuk idea dan maklumat baru dan kini mengorak langkah untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam latihan dan penyelidikan. Institut ini giat menjalankan kursus latihan, seminar, bengkel, kolokium dan forum serta menganjurkan persidangan utama serta antarabangsa dalam bidang pembangunan sosial yang disasarkan kepada kepada pegawai dan kakitangan KPWKM dan agensi-agensi di bawahnya, agensi kerajaan lain, badan bukan kerajaan, persatuan dan pertubuhan berkaitan pembangunan sosial serta orang awam.
ISM bertekad untuk mencapai objektif yang ditetapkan iaitu melahirkan pengamal sosial yang mahir dan profesional, mempertingkatkan kemahiran serta berkongsi pengetahuan di bidang pengurusan dasar sosial, merancang kurikulum dan program latihan, mewujudkan rangkaian kerjasama dan perkongsian pengetahuan serta menyokong penyelidikan dan menghasilkan penerbitan mengenai sosial dan pembangunan sosial.
Di dalam usaha untuk mempertingkatkan pembinaan kapasiti, ISM kini mengorak langkah ke arah menambah rangkaian kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa bagi membangunkan kurikulum yang lebih komprehensif.
ISM memberi fokus utama kepada 4P iaitu pengurusan, akademik, penyelidikan, dan penerbitan. Program teras ini diterajui oleh empat kluster iaitu Kluster Pembangunan Rundingan Sosial (KPRS), Kluster Pembangunan Kerja Sosial (KPKS), Kluster Repositori dan Dokumentasi (KRD), Kluster Penyelidikan dan Penerbitan (KPP), serta Pusat Bertauliah (PB).