Kertas Prosiding Kolokium Penyelidikan Isu-isu Sosial

Kolokium ini merupakan satu usaha kolaboratif yang bertujuan untuk memupuk pertukaran idea yang konstruktif dan inovatif antara para akademik, penyelidik, penggubal dasar, dan pengamal industri. Dengan tema tahun ini, "Transformasi Sosial Melalui Penyelidikan dan Inovasi," kolokium ini akan menjadi medan untuk meneroka cara-cara baru dalam menangani cabaran sosial yang semakin kompleks. ISM percaya bahawa melalui perbincangan yang mendalam dan kerjasama yang erat, kita mampu menghasilkan penyelesaian yang berkesan untuk isu-isu sosial yang dihadapi oleh masyarakat kita.

Wanita Bangkit Siri 2

Pandemik Covid-19 mendatangkan cabaran baharu untuk setiap individu. Tidak terkecuali, para wanita yang hidupnya tenang menguruskan keperluan keluarga, mendadak diuji dengan kematian suami akibat wabak. Tidak terlupakan, wanita yang diuji dengan penceraian, kehilangan pekerjaan, ataupun diberi dugaan kesihatan pada ketika wabak itu melanda dunia. Sekalipun ditekan dengan hidup yang keras, wanita-wanita ini memilih untuk berdegil dan bangkit melawan. Tangisan mereka hanya seketika, kerana ada mulut yang perlu disuap, ada keluarga yang perlu dibela dan ada tanggungjawab untuk digalas.

Majalah Paradigma Sosial

Majalah separa akademik ini memuatkan artikel berkaitan isu-isu sosial yang berlaku dalam persekitaran masyarakat. Majalah ini diterbitkan secara berkala setahun sekali. Penerbitan ini mencerminkan kepelbagaian pandangan dan perspektif dari ahli akademik, pemimpin masyarakat, pengamal industri dan individu dalam memberikan sumbangan bermakna kepada pembaca untuk memahami serta menangani isu-isu sosial yang kompleks dalam konteks semasa.

Laporan Tahunan ISM 2023

Penerbitan ini merupakan medium untuk melaporkan aktiviti dan program yang telah dilaksanakan setahun yang lalu di ISM. Laporan ini diterbitkan setahun sekali, dan juga bertujuan untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai prestasi, pencapaian, dan keadaan kewangan ISM sepanjang tahun tersebut.

Kajian Kebolehlaksanaan ISM Sebagai Agensi Akreditasi Kerja Sosial di Malaysia

Permintaan daripada pemegang taruh terhadap kursus dan latihan berkaitan Kerja Sosial semakin meningkat dari hari ke hari. Sehubungan itu, terdapat keperluan mendesak bagi mewujudkan sebuah agensi akreditasi yang dapat mengawal selia dan memastikan kualiti kursus serta latihan tersebut. Tujuan utama kajian ini adalah untuk menilai kebolehlaksanaan Institut Sosial Malaysia (ISM) sebagai Agensi Akreditasi Kerja Sosial Malaysia (AAKSM). Kajian ini dijalankan dalam tempoh 6 bulan.

Kajian Penilaian Keberkesanan Projek Rintis Pemeliharaan Berasaskan Keluarga

Kajian ini dilaksanakan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan projek rintis PBK, yang telah diperkenalkan di empat (4) lokasi utama di Malaysia sejak tahun 2019. Kajian ini memberikan tumpuan kepada kanak-kanak yang dikategorikan sebagai berisiko rendah hingga tinggi dan mengkaji pelbagai aspek yang mempengaruhi keberhasilan program tersebut.