Institut Sosial Malaysia (ISM) merupakan sebuah agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan mula beroperasi pada tahun 2002 dengan  objektif  utama  untuk  menjadi  sebuah  pusat  kecemerlangan  dalam bidang sosial dan pembangunan sosial. ISM terletak di lokasi yang strategik di ibu negara, Kuala Lumpur.

Sebagai pusat latihan untuk anggota kerajaan dan pengamal-pengamal sosial, Institut ini juga merupakan pusat sumber untuk idea dan maklumat baru dalam bidang sosial dan pembangunan sosial dan kini mengorak langkah untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam latihan dan penyelidikan. Oleh itu, Institut ini menjalankan kursus latihan, seminar, bengkel dan forum serta menganjurkan persidangan utama dalam bidang pembangunan sosial.

ISM  bertekad  untuk  mencapai  objektif  yang  ditetapkan  iaitu  melahirkan  pengamal sosial yang mahir dan profesional, mempertingkatkan kemahiran serta berkongsi pengetahuan di bidang pengurusan dasar sosial, merancang kurikulum dan program latihan, mewujudkan rangkaian kerjasama dan perkongsian pengetahuan serta menyokong penyelidikan dan menghasilkan penerbitan mengenai sosial dan pembangunan sosial.

Di dalam usaha untuk mempertingkatkan pembinaan kapasiti, ISM ini mengorak langkah ke arah mewujudkan rangkaian kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa bagi membangunkan kurikulum yang lebih komprehensif dan strategi yang efektif untuk memperkasakan pengetahuan dan menyampaikan idea terkini kepada mereka yang menghadiri kursus di Institut ini. Sehubungan itu, ISM dalam usaha untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pembangunan sosial. 

ISM mengendalikan kursus, program dan aktiviti yang dikendalikan oleh lima kluster. Kluster tersebut ialah Kluster Pembangunan Profesional (PP), Kluster Pembangunan Sosial (PS), Kluster Pembangunan Kapasiti dan Gender (KG), Kluster Kesukarelawanan dan Keusahawanan Sosial (3K) serta Kluster Penyelidikan dan Pembangunan (KRnD). Terdapat pelbagai kursus, program dan aktiviti yang ditawarkan kepada pegawai dan kakitangan KPWKM dan agensi-agensi di bawahnya, agensi kerajaan lain, badan bukan kerajaan, serta orang awam.

Selain mengendalikan kursus, program dan aktiviti ISM turut terlibat dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan. ISM menjalankan penyelidikan berkaitan bidang sosial termasuklah kajian melibatkan kumpulan sasar kementerian.

Selaras dengan usaha Institut ini dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan penyebaran maklumat, penerbitan seperti Laporan Tahunan ISM, ISM Giat, ISM Minda, International Journal of Social Policy & Society dan Social Matters diterbitkan secara berkala.

ISM akan mempertingkatkan latihan dan pembinaan kapasiti dengan merekabentuk kurikulum untuk memenuhi keperluan terkini. ISM akan terus bertekad untuk mencapai objektif, misi dan visi serta dalam usaha tersebut mengintegrasikan nilai kemanusiaan di dalam agendanya untuk pembinaan kapasiti dan peningkatan pengetahuan.