ISM Logo

1. Warna Kuning Emas (Warna Korporat)

Warna kuning emas dikaitkan dengan prestij, kegembiraan, kebijaksanaan, pengetahuan dan konsentrasi (berfokus). Justeru, warna  ini melambangkan ISM sebagai institusi latihan dan penyelidikan dalam bidang dasar sosial dan pembangunan sosial yang mantap, matang dan dinamik dalam memberikan latihan terbaik kepada Pengamal Sosial dan Pekerja Sosial ke arah menjadikan bidang sosial dan pembangunan sosial bertaraf serantau dan dunia. ISM akan sentiasa memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan menerusi latihan, penyelidikan, penerbitan dan perkongsian ilmu sosial dan mengangkat martabat ilmu berkaitan sosial berdasarkan moto ISM iaitu “ILMU ● SEJAHTERAKAN ● MASYARAKAT”.

Perkhidmatan berkualiti ini disampaikan secara inklusif kepada seluruh masyarakat dalam pelbagai bentuk sama ada secara dalaman mahu pun dengan kerjasama strategik dengan pihak lain sama ada kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat keseluruhannya terutamanya menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru. Jaringan kerjasama ini bukan terhad kepada peringkat nasional, malahan menjangkaui ke peringkat serantau dan dunia.

 

2. Warna Hitam

Warna hitam melambangkan keunggulan dan nilai eksklusif, mencerminkan keunggulan ISM sebagai institusi tunggal yang memberikan latihan dalam bidang sosial dan pembangunan sosial di negara ini terutamanya kepada Pekerja Sosial dan Pengamal Sosial.

Warna hitam juga merupakan simbol keutuhan dan keteguhan warga ISM dalam menjana pemikiran kritis dan daya intelektual yang tinggi ke arah merealisasikan aspirasi ISM sebagai pusat latihan dalam bidang sosial dan pembangunan sosial yang ulung dan terhormat.

 

3. Buku

Buku mencerminkan ISM sebagai gedung ilmu dalam memartabatkan pembangunan sosial di Malaysia, sejajar dengan peranannya sebagai pusat latihan dan pusat rujukan sosial kepada Pekerja Sosial dan Pengamal Sosial dan masyarakat keseluruhannya. Buku juga melambangkan konsep pembelajaran sepanjang hayat yang diamalkan oleh ISM selari dengan ayat pertama al-Quran yang diturunkan Allah S.W.T. (yakni Iqra’ yang bermaksud “Bacalah!”) yang menganjurkan manusia supaya membudayakan amalan membaca dan menuntut ilmu supaya dapat menyumbang kepada masyarakat dan sejagat.

 

4. Pena

Pena merupakan simbol inspirasi dan idea yang signifikan bagi ISM dalam menyumbang kepada perencanaan dasar dan polisi semasa negara berkaitan sosial menerusi penerbitan bahan ilmiah, penyelidikan sosial, diskusi dan wacana intelek melibatkan kumpulan ilmuwan dan masyarakat umum.

 

Pena juga melambangkan ketajaman idea dan buah fikiran serta keterbukaan ISM dalam melibatkan semua kelompok masyarakat ke arah menyumbang kepada pembangunan sosial negara seiring dengan pembangunan negara keseluruhannya.