SERDANG,  4 Disember 2016 YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah dilantik sebagai Menteri Mentor UPM sesi 2016-2018.

 

Rohani yang berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) kini kembali sebagai mentor dan disambut meriah oleh ribuan mahasiswa/siswi dan warga UPM. Beliau turut berkongsi pengalaman serta memberi tumpuan utama sebagai Menteri Mentor untuk menjadikan UPM sebagai universiti angkat beliau, di samping mendampingi mahasiswa/siswi dan warga UPM dengan lebih mendalam dan seterusnya memahami isu yang dihadapi.

Dalam kick off yang bertemakan “Semarakkan Kasih Sayang” kali ini, Rohani telah membawa beberapa perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian beliau untuk dikongsi bersama. Tiga perkhidmatan utama Kementerian kepada masyarakat telah dikongsikan secara praktikal bagi menarik minat mahasiswa/siswi untuk sama-sama menyertai perkhidmatan termasuk penubuhan perwani siswi UPM, Psychological Support Team (PSTeam) dan pendaftaran sukarelawan.

“Jauh di sudut hati bonda, untuk melihat anak-anak yang berada di hadapan mata bonda ini bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi seorang yang dekat dengan masyarakat” ujar Rohani.

Pelantikan Menteri Mentor UPM telah disempurnakan oleh Naib Canselor dengan pemakaian selempang Menteri Mentor UPM. Dalam program yang sama, Pelancaran Psychological Support Team (PSTeam) dan Pelancaran PERWANI Siswi UPM turut disempurnakan.

 

Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dr. Rose Lena binti Lazemi, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM, Ketua-ketua Pengarah Agensi di bawah KPWKM, Pegawai-pegawai kanan Kementerian dan universiti serta sebanyak 2300 orang peserta.