Kuala Lumpur, 2 Ogos 2016 - Melalui transformasi baharu, Institut Sosial Malaysia (ISM) kini telah mula membuka pintu dan peluang kepada orang awam terutamanya kumpulan sasar KPWKM untuk mengikuti program latihan dalam bentuk kursus jangka pendek, seminar, persidangan, serta menggiatkan penulisan, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang sosial yang berkaitan. 

 Bersesuian dengan transformasi tersebut, ISM telah melancarkan logo baharu yang menonjolkan perkhidmatannya sebagai Pusat Kecemerlangan dalam Bidang Sosial dan Pembangunan Sosial. Majlis Pelancaran Logo Baharu ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di dalam majlis yang diadakan di sini. 

Trend orang awam yang mengikuti program latihan di ISM memberikan indikator positif iaitu pada tahun 2015 seramai 3,478 orang awam dilatih oleh ISM berbanding 2,189 orang awam mendapat manfaat pada tahun 2014 iaitu pertambahan sebanyak 58.9%. Sehingga Julai 2016, 873 orang awam telah mendapat manfaat secara langsung daripada program latihan yang dijalankan oleh ISM.

Memenuhi hasrat pembelajaran dalam bentuk amali, ISM juga turut mewujudkan sebuah TASKA kanak-kanak ditempat kerja yang dikelolakan sepenuhnya oleh ISM. TASKA ISM ini disasarkan menjadi model TASKA Tempat Kerja Awam yang boleh dicontohi oleh majikan sama ada jabatan kerajaan dan pihak swasta.

YB Dato’ Sri Rohani berkata, “Semoga pelancaran logo baharu ISM dan perasmian TASKA ISM ini akan memberikan inspirasi dan aspirasi kepada setiap warga ISM untuk menyediakan latihan yang cemerlang kepada Pengamal Sosial dan Pekerja Sosial serta masyarakat seluruhnya selaras dengan Wawasan 2020”.

Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datin Paduka Chew Mei Fun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBrs. Dr. Rose Lena Lazemi, Ketua Setiausaha KPWKM, Dr. Al-Azmi Bakar, Pengarah ISM, Ketua-ketua Pengarah Agensi di bawah KPWKM dan Pegawai-pegawai kanan Kementerian.